Seorang melecur dalam kebakaran di Pasar Sungai Maong

Keadaan di dalam premis yang terbakar.

KUCHING, 10 Nov: Seorang lelaki melecur di belakang badannya dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai di Pasar Sungai Maong, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 11.59 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Batu Lintang dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi lapor kebakaran melibatkan rumah kedai tiga tingkat, di mana kebakaran telah berlaku di tingkat tiga bangunan tersebut dan tingkat dua terbakar 50 peratus.

“Terdapat seorang mangsa telah cedera melecur di bahagian belakang badan dan telah dihantar EMRS Batu Lintang ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Turut sama memadam kebakaran tersebut ialah anggota dari BBP Tabuan Jaya dan Padungan.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily