Dua rumah pekerja hangus, 19 hilang tempat berteduh di Sibu

Kebakaran yang memusnahkan dua rumah pekerja di Sibu.
Advertisement

SIBU, 11 Nov: Dua buah rumah pekerja yang didiami 19 penghuni di Jalan Ding Lik Kong, di sini musnah dijilat api dalam kebakaran semalam (Rabu).

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 4.16 petang.

Beberapa anggota dari Balai Bomba Sibu diketuai Pegawai Bomba Kanan Terrance Jimbun terus ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran tersebut.

Advertisement

“Pasukan yang tiba di lokasi kejadian terus membuat pemadaman dan membuat ‘fire brake’ dengan menggunakan dua aliran dan empat nozel, dibantu pam angkut yang disambung dengan jentera bomba dan pili terdekat.

“Kebakaran berjaya dikawal dari terus merebak ke rumah ke-3 setelah ‘fire brake’ dibuat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, hasil maklumat yang diperolehi mendapati kedua-dua rumah tersebut didiami sembilan lelaki, tujuh wanita dan tiga kanak-kanak.

“Kebakaran memusnahkan kedua-dua struktur bangunan, namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya.

Operasi pemadaman kebakaran selesai pada jam 7.59 malam.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Pasukan Forensik Kebakaran.

Turut sama dalam operasi tersebut ialah Polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sarawak Energy Berhad. — DayakDaily

Advertisement