Dua rumah musnah terbakar dalam satu kejadian kebakaran

Keadaan api yang sedang marak membakar dua buah rumah di Jalan Pengeran Kadir, Sarikei.
Advertisement

SARIKEI, Julai 27: Dua buah rumah musnah terbakar 100 peratus dalam satu kejadian kebakaran di Jalan Pengeran Kadir di sini malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 9.38 malam itu, tiada laporan kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Suna Kahar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut pada pukul 9.39 malam.

Advertisement

Jelasnya, sepasukan lapan anggota bomba bersama jentera pemadam kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Apabila tiba, anggota bomba mendapati api marak membakar kedua-dua rumah jenis struktur tidak kekal itu.

“Anggota bomba kemudian bertindak melakukan kerja-kerja memadam kebakaran dengan menggunakan sumber air dari jentera
dan keadaan api terkawal pada pukul 10.08 malam,” katanya hari ini.

Suna menambah, pemeriksaan lanjut mendapati tiada penghuni berada di kedua-dua kediaman berkenaan semasa kejadian itu.

Katanya, operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 10.44 malam.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam proses siasatan,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement