Royalti minyak: Chong perlu menyatakan pendiriannya, kata Fadillah

Datuk Sri Fadillah Yusof

KUCHING, Julai 27: Ketua ahli-ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusoh hari ini membidas kenyataan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen yang bercanggah dengan kenyataan tampuk kepimpinan PH Putrajaya.

Menurut beliau, sebelum pilihan raya umum yang lalu, Chong telah mengemukakan cadangan PH Sarawak kepada karajaan negeri tentang tambahan royalti minyak 15 peratus selain 5 peratus ketika ini, yang akan melibatkan peningkatan sebanyak RM4.5 bilion kepada RM5 bilion setahun.

Chong juga mencadangkan bahawa 50 peratus pendapatan cukai di Sarawak iaitu sebanyak RM3.5 bilion setahun, dikembalikan kepada Sarawak memandangkan negeri ini menyumbang kutipan cukai berjumlah RM7 bilion.


“Justeru beliau (Chong) menyebut bahawa sejumlah RM8 bilion akan diberikan kepada Sarawak. Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri perlu mengambilalih beban kewangan yang ditanggung oleh kementerian kesihatan dan kementerian pendidikan di Sarawak.

“Namun, perkara ini bercanggah sama sekali dengan apa yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang,” Kata Fadillah dalam satu kenyataan media semalam.

Tambah beliau, susulan kenyataan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi bahawa 20 peratus royalti minyak yang dimaksudkan adalah daripada keuntungan bukannya pengeluaran.

“GPS dengan ini menuntut penjelasan daripada YB Chong berhubung pendirian beliau mengenai perkara ini, sama ada beliau sudah berubah pendirian atau konsisten mahukan 20 peratus royalti minyak daripada pengeluaran,” kata beliau.

Mengenai kenyataan media Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin, di Parlimen (Julai 25, 2018) yang mendakwa kerajaan Sarawak belum mempersetujui penurunan kuasa yang ditawarkan Putrajaya dan mendakwa kerajaan Sarawak tidak menjelaskan pendirian mengenai perkara itu adalah tidak berasas sama sekali, kata Fadillah selaku ahli Parlimen Petrajaya.

“Chong mendakwa bahawa pihak PH Sarawak telah menawarkan royalti sebanyak 20 peratus daripada pengeluaran minyak di negeri itu dan 50 peratus daripada hasil kutipan cukai di Sarawak, diberikan kepada kerajaan negeri jika PH berjaya menawan Putrajaya pada PRU-14.

“Kerajaan Sarawak sejak Allahyarham Tok Nan (Pehin Sri Adenan Satem) mengambilalih tampuk kepimpinan negeri, secara konsisten telah berjuang menuntut royalti 20 peratus daripada hasil pengeluaran berbanding 5 peratus ketika ini.

“Manakala bagi penurunan kuasa, Allahyarham Tok Nan secara tegas dan konsisten menuntut hak-hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikembalikan. Usaha Allahyarham itu telah diteruskan oleh YAB Ketua Menteri sekarang, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, sehingga ke hari ini,” kata Fadillah.

Fadilah berkata sebuah Jawatankuasa Kabinet berkaitan Perjanjian Malaysia (MA63) juga telah ditubuhkan sejak 2016 dan ia dipengerusikan bersama oleh Datuk Seri Nancy Shukri (Sarawak) dan Datuk Seri Anifah Aman (Sabah).

“Tuntutan Allahyarham Tok Nan secara spesifik menumpukan kepada keperluan untuk kerajaan persekutuan memenuhi hak-hak Sarawak seperti termaktub dalam MA63, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963, Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962 dan Perlembagaan Persekutuan.

“Malah rundingan penurunan kuasa pentadbiran dari kerajaan persekutuan kepada kerajaan Sarawak sudah memasuki fasa kedua sebelum PRU-14 yang lalu melibatkan perundingan antara Peguam Negara di peringkat Persekutuan dan Peguam Besar Negeri Sarawak dan Sabah.”

Fadillah, yang juga mantan Menteri Kerja Raya berkata, jawatankuasa teknikal di peringkat negeri juga sudah mengemukakan laporan teknikal perbincangan kepada Peguam Negara sebelum ini, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

“Di samping itu, 13 peruntukan kuasa pentadbiran sudah dikembalikan oleh kerajaan persekutuan kepada Sarawak sejak 2016. Persoalannya sekarang ialah apakah pendirian Chong mengenai tuntutan royalti 20 peratus itu?

“Sama ada beliau akan terus bersama kerajaan negeri Sarawak untuk tidak berganjak menuntut royalti 20 peratus daripada hasil pengeluaran atau sudah berubah pendirian susulan perkembangan terbaru apabila kepimpinan PH sendiri mengumumkan bahawa 20 peratus itu adalah daripada keuntungan bersih?” soal Fadillah.

Beliau berkata, jika Chong sudah berubah pendirian, bermakna beliau telah ‘mengkhianati’ janji dan harapan rakyat Sarawak serta perjuangan Allahyarham Tok Nan untuk menuntut royalti 20 peratus daripada pengeluaran hasil minyak dan gas.

“Apa yang jelas, harapan rakyat Sarawak kepada kerajaan Pakatan Harapan adalah untuk menunaikan janji dalam Manifesto PH untuk memberikan royalti 20 peratus berasaskan hasil pengeluaran dan mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis,” tambah Fadillah. — DayakDaily