Dua rumah di Kg Ajibah Abol musnah terbakar

Pasukan bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

KUCHING, 27 Dis: Dua buah rumah di Kampung Ajibah Abol, di sini dilaporkan musnah dalam kebakaran hari ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 5.03 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dan Batu Lintang terus ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.


“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan dua buah rumah dua tingkat, yang mana sebuah telah musnah 100 peratus dan sebuah lagi musnah 90 peratus semasa ketibaan pasukan bomba di lokasi.

“Pasukan bomba membuat pemadaman menggunakan 4 pancutan dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.26 petang dan kerja-kerja overhaul masih lagi diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya sehingga laporan ini dibuat, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Kebakaran juga mengakibatkan dua buah kenderaan musnah iaitu sebuah Proton Iswara dan Perodua Kancil yang dipakir di hadapan rumah pertama yang terbakar.

“Difahamkan rumah pertama yang terbakar juga dijadikan tempat membaiki kereta,” katanya.

Punca kebakaran masih dalam siasatan. ― DayakDaily