This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 5 Sept: Dua remaja lelaki berusia 19 tahun ditangkap polis kerana disyaki telah menyamun seorang wanita di sebuah pusat membeli belah di Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Adruce pada Sabtu (Sept 2).
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata mangsa berusia 24 tahun itu ditemui teman lelakinya dalam keadaan lemah dan cedera sekitar jam 3.53 pagi.
Katanya, barang kemas serta telefon bimbit mangsa telah dilarikan suspek dan mereka kemudian terus membuat laporan polis.
“Bertindak atas maklumat, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching telah membuat tangkapan terhadap dua lelaki warga tempatan berusia 19 tahun di lokasi kejadian.
“Semasa tangkapan dibuat, turut dirampas dari salah seorang suspek ialah sehelai baju, sebentuk cincin, dua utas rantai emas dan satu beg tangan.
“Kedua-dua suspek kemudian ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun, mendatangkan cedera.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.
“Semakan kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil saringan awal air kencing juga negatif dadah,” katanya. — DayakDaily