Dua PPS dibuka di Serian dan Kuching, tempatkan 53 mangsa banjir

PPS Dewan Kampung Betong Kenawit, Serian mula dibuka jam 10.30 malam semalam (12 Jan 2021).

KUCHING, 13 Jan: Seramai 53 mangsa daripada 19 keluarga dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mangsa banjir selepas kediaman mereka dinaiki air susulan hujan berterusan sejak petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Mejar Ismail Mahedin dari Angkatan Pertahanan Awam berkata, daripada jumlah tersebut, 21 mangsa ditempatkan di Dewan Kampung Betong Kenawit, Serian manakala 32 mangsa lagi di Balai Raya Taman Desa Wira di sini.

“PPS di Dewan Kampung Betong Kenawit, Serian mula di buka pada jam 10.30 malam semalam selepas kita memindahkan 21 orang mangsa daripada enam keluarga di kampung berkenaan.


“Hujan berterusan di kawasan Sungai Betong telah menyebabkan limpahan air sekaligus mengakibat rumah penduduk terbabit yang berada di kawasan rendah telah di tengelami air,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PPS di Balai Raya Taman Desa Wira mula dibuka jam 2.30 pagi tadi bagi menempatkan 32 mangsa daripada 13 buah keluarga.

Katanya, kesemua mangsa yang ditempatkan di PPS tersebut merupakan penduduk dari Taman Sri Mas, Batu Kawah di sini.

“Sehingga jam 8.00 pagi tadi jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir masih kekal seramai 53 orang dan pasukan kita masih berada di lokasi bagi memantau keadaan semasa situasi banjir,” katanya. — DayakDaily