Dua penuntut kolej ditahan selepas disyaki edar dadah

Pelbagai jenis dadah yang dirampas polis daripada suspek.

KUCHING, Jan 4: Polis berjaya menahan dua penuntut kolej selepas mereka disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sebuah rumah di Jalan Stutong di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri (JSJN) Sarawak, Supt Sahar Abd Latif berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 20 dan 19 tahun itu diberkas kira-kira pukul 2.30 petang.

Jelas beliau, sebelum tangkapan itu, anggota polis dari JSJN telah melakukan intipan dan risikan tentang pergerakan serta aktiviti yang dilakukan oleh kedua-dua suspek.


“Serbuan yang dilakukan kemudian menemukan satu bekas plastik bertulis Viki Poket Roll Double Chocolate di atas lantai berdekatan dengan tilam suspek.

“Selepas membuka bekas itu, polis telah menemukan empat paket plastik lutsinar berisi pil-pil pelbagai warna disyaki dadah pil ekstasi (114 gram) serta 28 ‘strip’ warna merah/perak masing masing berisi 10 biji pil disyaki pil Erimin 5 (79.50 gram).

“Selain itu, polis turut menemui enam paket plastik warna perak masing-masing berisi campuran jus buah-buahan dan serbuk ekstasi (162 gram) dan satu paket plastik lutsinar mengandungi 11 paket plastik lutsinar berisi hablur putih disyaki dadah ketamin (18.8 gram),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sahar menambah, nilai keseluruhan rampasan dadah daripada kedua-dua suspek dianggarkan berjumlah RM37,520.

Katanya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek mengaku mengedar dadah di sekitar bandaraya ini sejak pertengahan tahun lalu.

“Polis turut merampas masing-masing sebuah kereta Perodua Kelisa dan motosikal Yamaha R2 selain wang tunai berjumlah RM1,208 daripada kedua-dua suspek.

“Kedua-dua suspek ditahan disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya lagi. — DayakDaily