Dua parah, manakala dua cedera ringan dalam nahas dua motosikal

Pasukan bomba membantu salah seorang mangsa.

Oleh Dean Adam

MARUDI, Mei 26: Dua parah, manakala dua lagi cedera ringan selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Muhibbah di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 11.40 malam itu mengakibatkan dua mangsa masing-masing berusia 19 dan 24 tahun cedera parah.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, dua lagi mangsa yang berusia 18 dan 24 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

Jelasnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.46 malam.

“Sepasukan tujuh anggota bomba dari BBP Marudi kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati terdapat seorang mangsa yang tercampak ke dalam sebuah longkang, manakala tiga lagi tercampak di tepi jalan raya,” katanya di sini hari ini.

Keadaan dua buah motosikal selepas terlibat dalam kemalangan.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba kemudian memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum diserahkan kepada petugas perubatan.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.21 tengah malam selepas semua mangsa dibawa ke Hospital Marudi untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily