Lelaki nyaris maut, kereta dipandu terhumban masuk dalam longkang sedalam 5.4 meter

Kelihatan sebuah kereta yang terhumban masuk dalam sebuah longkang.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Mei 26: Seorang lelaki nyaris maut selepas kereta yang dipandu hilang kawalan lalu terhumban masuk ke dalam sebuah longkang di Jalan Sibiew di sini awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 5.25 pagi itu mengakibatkan kereta yang dipandu mangsa berusia 34 tahun terjatuh ke dalam parit sedalam kira-kira 5.4 meter.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 5.31 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah kereta dalam keadaan terhumban di dalam sebuah longkang di bahu jalan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu kereta itu hanya mengalami kecederaan ringan dan berjaya keluar dari kenderaan tersebut.

“Lelaki yang memandu kereta jenis Perodua Viva itu selamat dan berjaya keluar dari kenderaannya,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba kemudian menggunakan tangga untuk membawa mangsa naik ke atas.

Katanya, mangsa yang mengalami cedera di bahu kiri kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan bomba.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Bintulu untuk mendapat rawatan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily