Dua melecur dalam kebakaran di Kg Kudei

Keadaan di tempat kebakaran.

KUCHING, 29 Sept: Dua lelaki melecur dalam kebakaran dua buah rumah di Kampung Kudei, di sini hari ini.

Jurucakap Jabaran Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 9.30 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang, Padungan dan Petra Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan dua buah rumah yang telah terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi rumah terbakar di bahagian dinding.

“Kemerebakan ke rumah ke-4 berjaya dikawal dan terdapat dua lelaki dewasa melecur, yang mangsa pertama melecur 30 peratus dan seorang lagi 10 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Turut terbakar ialah dua buah motosikal di lokasi kejadian.

“Pemadaman diteruskan sehingga api padam sepenuhnya,” katanya.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily