Kastam Sarawak tumpas sindiket dadah, rampas syabu bernilai RM151,700

Kelihatan dadah yang dirampas.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Feb 24: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas tertangkapnya seorang lelaki apabila disyaki memiliki dan mengedar dadah jenis syabu seberat 3,034 gram dengan nilai rampasan sebanyak RM151,700.

Pengarah Kastam Sarawak Dato’ Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, tangkapan tersebut merupakan kes dadah yang pertama dan terbesar dalam tahun 2019 bagi JKDM.


Jelas beliau, tangkapan ke atas lelaki Cina berusia 45 tahun itu dilakukan di hadapan premis sebuah syarikat kurier di Kuching pada pukul 2 petang pada Februari 22 lepas.

“Sindiket dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier bagi mendapatkan bekalan dadah kerana pergerakan bungkusan kurier mudah untuk dikesan melalui ‘tracking’.

“Namun, JKDM sentiasa berwaspada dengan taktik yang digunakan dan kerap kali membuat penilaian risiko atau “risk assessment” ke atas bungkusan kurier,” katanya di sini hari ini.

Sharifah Halimah menambah, suspek terbabit kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Mac 2 depan.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

“Manakala, sepanjang tahun 2018, Cawangan Narkotik JKDM telah merekodkan rampasan dadah pelbagai jenis dengan nilai sebanyak RM1.7 juta,” katanya.

Orang awam juga katanya, adalah diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dadah dan juga lain-lain barang larangan seperti rokok, minuman keras dan mercun dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau talian terus Ibu Pejabat JKDM Negeri Sarawak 082-472133 atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran. — DayakDaily