Dua maut dalam nahas dua lori bawa baja sawit

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Advertisement

TATAU, Ogos 16: Dua lelaki masing-masing pemandu dan kelindan lori maut apabila kenderaan yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori lain di Jalan Ladang Bumi Suria-Simpang SK Ulu Arip di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu, identiti pemandu lori yang meninggal dunia disahkan sebagai Muhammad Fikri Rokkie Bansa, 25.

Bagaimanapun, kelindan lori yang membawa muatan baja sawit itu pula belum dikenalpasti identitinya kerana dokumen pengenalan diri mangsa tidak ditemui di tempat kemalangan.

Advertisement

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau, Nazari Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.43 pagi.

Katanya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati kedua-dua masih dalam keadaan tersepit dan sudah tidak bernyawa lagi.

“Selepas berjaya mengeluarkan kedua mangsa, mayat mereka kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, SUPT Alexson Naga Chabu mengesahkan menerima laporan kemalangan maut tersebut.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Mukah untuk dibedah siasat.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement