Mukah, Sibu melebihi catatan IPU 100

Laman sesawang JAS yang ada memaparkan IPU terkini hari ini dikawasan sekitar negeri ini.

KUCHING, Ogos 16: Keadaan berjerebu di Sarawak semakin bertambah teruk apabila sudah mula ada kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 yang tidak sihat iaitu di Mukah dan Sibu hari ini.

Mengikut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan Mukah mencatatkan bacaan IPU melebihi 100 sejak jam 4 petang semalam dan berlarutan hari ini dengan terkini mencatatkan IPU 138 jam 3 petang tadi.

Manakala Sibu juga ada mencatatkan bacaan IPU melebihi 100 yang tidak sihat mulai jam 4 petang semalam tetapi hanya sehingga jam 8 pagi tadi sahaja dengan IPU 103 dan selepas itu mulai 9 pagi tadi indeks terbabit menurun dibawah 100 dan berterusan sehingga jam 3 petang tadi dengan IPU 93.


Bintulu juga ada mencatatkan IPU tidak sihat melebihi 100 dari jam 4 sehingga 5 petang semalam dan selepas itu mulai jam 6 petang menurun dibawah 100 sehingga jam 3 petang tadi yang mencatatkan IPU 81.

Kawasan lain mencatatkan IPU 51 hingga 100 yang sederhana pada jam 3 petang tadi ialah Kuching (88), Samarahan (90), Sri Aman (83), Kapit (68), Samalaju (72), Miri (73), ILP Miri (75) dan Limbang (65). — DayakDaily