Dua maut dalam nahas di Jalan Sri Aman-Kuching

Pasukan Bomba memadam kebakaran kereta.
Advertisement

SRI AMAN, 7 Feb: Seorang lelaki dan remaja perempuan disahkan meninggal dunia dalam kemalangan berdekatan Kampung Gua Ming, Jalan Sri Aman-Kuching hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan iaitu, motosikal, MPV dan lori itu dilaporkan berlaku pada jam 1.38 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikerahkan ke lokasi kejadian.

Advertisement

“Akibat dari kemalangan tersebut, kenderaan MPV telah terbakar 100 peratus dan lori terbakar 20 peratus.

“Kesemua mangsa telah berjaya keluar dari kedua-dua buah kenderaan dengan bantuan orang awam.

“Bagaimanapun penunggang motosikal dan seorang penumpang kenderaan MPV telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh KKM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Jerawi Gundam, 50 tahun dan Valen Ting Hui Hui berusia 17 tahun.

Sementara itu, pemandu lori yang berusia 56 tahun turut melecur di seluruh anggota badan.

Mangsa-mangsa yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Sri Aman untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Setelah membuat kerja-kerja pembersihan, pasukan bomba kemudian berangkat balik ke balai pada jam 4.01 petang. — DayakDaily

Advertisement