This Content Is Only For Subscribers
TATAU, 3 Ogos: Dua lelaki disahkan meninggal dunia akibat tersepit di dalam kereta selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori trailer berdekatan Simpang Sungai Arip, Sibu-Tatau semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 4.05 petang.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati dua mangsa yang berada di dalam trailer tiada mengalami kecederaan, manakala dua mangsa yang berada di dalam kereta Perodua Bezza telah disahkan meninggal dunia selepas diperiksa pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) Tatau.
“Pihak Bomba terus menjalankan operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa dan mayat mereka kemudian diserahkan kepada pihak polis Mukah untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Dua mangsa yang meninggal dunia berusia 35 tahun dan 25 tahun.
Pihak Bomba kemudian menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan kejadian sehingga selamat kepada pengguna-pengguna jalan raya yang lain. — DayakDaily