Dua maut dalam kemalangan di Sibu

Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Advertisement

Oleh DayakDaily Team

SIBU, 21 Julai: Dua lelaki disahkan meninggal dunia dalam kemalangan kendiri di Jalan Stabau Salim, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan tersebut pada jam 6.55 petang.

Advertisement

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga FLX yang terbabas ke dalam parit di tepi jalan.

“Terdapat dua orang mangsa didapati berada di dalam kenderaan dalam keadaan tersepit.

“Anggota Bomba bertindak melakukan operasi mengeluarkan mangsa dan kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Mangsa yang meninggal dunia berusia 18 tahun dan 29 tahun dan berasal dari Rumah Jantin, Sg Mapai, Kanowit. — DayakDaily

Advertisement