Dua mangsa lemas disemadikan dalam satu liang lahad

Upacara pengebumian dua mangsa lemas di Tanah Perkuburan Islam Marudi.

MARUDI, Jun 23: Suasana sedih dan pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Marudi di sini ketika pengebumian jenazah dua mangsa yang ditemui lemas di Tebingan Sungai Marudi, hari ini.

Kira-kira 100 ahli keluarga, sanak saudara dan penduduk kampung yang hadir jelas tidak dapat menahan kesedihan sewaktu kedua-dua jenazah disemadikan dalam satu liang lahad.

Lebih memilukan, ahli keluarga kepada mangsa kelihatan sayu dan mengalirkan air mata sepanjang upacara pengebumian kedua-dua mangsa.


DayakDaily sebelum ini melaporkan mayat dua remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing bersama datuknya di Jeti Sungai Baram di sini semalam ditemui mati lemas di sungai berkenaan hari ini.

Semalam mayat datuk kepada kedua-dua mangsa itu, Sujai Jaraee,72, telah ditemui dalam keadaan terapung di tepi bot ekspres di jeti tersebut.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mayat mangsa kedua, Mohd Zafril Wasli, 12, dijumpai pada pukul 1.03 petang.

Katanya, mangsa ketiga, Mohd Alyee Ong Zulkifli, 14, pula ditemui oleh anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) tidak jauh dari lokasi mangsa kedua dijumpai.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 2.20 petang selepas mayat mangsa dibawa ke Hospital Marudi,” katanya. — DayakDaily