Oleh Dean Adam
SARATOK, Feb 1: Dua lelaki warga emas nyaris maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Toyota Harrier di Jalan Saratok-Sarikei di sini petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 5.10 petang itu mengakibatkan kedua-dua mangsa berusia 60-an tersepit.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 5.14 petang.
Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.
“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah Proton Iswara dan Toyota Harrier.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat pemandu dan penumpang kereta tersebut dalam keadaan tersepit sebelum pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa,” katanya di sini hari ini.
Tiong menambah, kedua-dua mangsa yang berjaya dikeluarkan seterusnya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 5.50 petang,” katanya. — DayakDaily