Pekerja buruh binaan maut dalam kemalangan

Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan.

Oleh Dean Adam

SERIAN, Feb 2: Seorang pekerja buruh binaan maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh besi penghadang jalan sebelum terjatuh dan dilanggar sebuah Toyota Wish di,  KM17, Jalan Serian-Kuching di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu menyebabkan mangsa, Mady, 41, meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu, berkata sebelum kejadian mangsa dikatakan menunggang motosikal dari arah Serian ke Kuching.

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal Honda Wave yang ditunggangnya telah melanggar besi penghadang jalan di situ.

Mayat mangsa sebelum dibawa ke hospital.

“Impak rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak jatuh di laluan kanan sebelum dirempuh oleh Toyota Wish yang kebetulan berada di laluan berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, kesan rempuhan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah.

Katanya, pemandu kenderaan yang berusia 22 tahun tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk dibedah siasat. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily