Dua lelaki terlibat dadah ditangkap di Kuching

Suspek dan dadah yang dirampas.

KUCHING, 6 Mei: Dua lelaki disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah ditangkap polis menerusi serbuan berasingan semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, tangkapan pertama dilakukan dalam serbuan di Jalan Rock sekitar jam 11 pagi.

“Bertindak atas maklumat, pasukan serbuan telah menahan seorang lelaki dan hasil pemeriksaan telah merampas 5 paket plastik lutsinar disyaki syabu, kira-kira seberat 5.13 gram dengan nilai RM513,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Jelasnya, suspek juga mempunyai satu rekod jenayah lampau.

Tangkapan kedua pula dilakukan pada jam 6.55 petang di sekitar pusat bandaraya.

“Hasil pemeriksaan telah merampas satu paket plastik lutsinar disyaki syabu, berat kasar 10.62 gram dengan anggaran bernilai RM1,062,” katanya.

Tegasnya, kedua–dua suspek ditahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada dua tahun tetapi tidak lebih daripada lima tahun dan disebat tidak kurang dari tiga sebatan tetapi tidak lebih daripada sembilan sebatan.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang awam tampil menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah. — DayakDaily