Dua lelaki miliki 12 rekod jenayah lampau, ditangkap polis kerana dipercayai curi kabel

Aksi kedua-dia suspek yang dirakam dipercayai membawa kabel curi.

KUCHING, 6 Sept: Dua penjenayah tegar memiliki 12 rekod jenayah lampau ditangkap sekali lagi selepas dikesan mencuri kabel milik Syarikat Telekom Malaysia semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kedua-dua lelaki berusia 18 dan 26 tahun itu berjaya ditahan selepas kegiatan mereka dikesan menerusi video tular berdurasi 24 saat di media sosial Facebook semalam.

Katanya, mereka ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Kuching sekitar jam 9 malam.


“Video berkenaan menunjukkan dua lelaki menaiki sebuah motosikal dipercayai membawa kabel yang dicuri.

“Selain itu, polis juga telah menerima laporan dari Telekom Malaysia Berhad berhubung kejadian curi kabel yang berlaku di tepi Jalan Keranji dan siasatan lanjut telah berjaya menangkap kedua-dua suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek-suspek disiasat mengikut Seksyen 379, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda.

Turut dirampas daripada suspek ialah kabel yang dipercayai hasil curi.

“Kita mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan kegiatan membabitkan kecurian kabel dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di Talian 082-244444 atau menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran,” katanya. — DayakDaily