Oleh Dean Adam
MIRI, Jan 26: Dua lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori treler di KM118, Miri-Bintulu, di sini semalam.
Kemalangan tersebut telah mengakibatkan dua mangsa, Amir Lau, 17, dan Jeckson Fahik Guteres, 17, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu, berkata sebelum kejadian, kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan ke arah Bintulu dari arah Niah.
Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal yang dinaiki mereka dikatakan tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori.
“Kesan pertembungan kuat itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak dari motosikal dan mengalami kecederaan parah.
“Petugas perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.
Alexson menambah, pemandu lori yang berusia 47 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa sudah dibawa ke Hospital Miri untuk dibedah siasat.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily