Dua lelaki masih hilang dalam insiden bot karam di Kapit

Kedua-dua mangsa yang hilang.

KAPIT, 30 Julai: Dua lelaki dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka karam di Jeram Pelagus, Sungai Rajang, di sini semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan kedua-dua mangsa pada jam 11.35 pagi hari ini.

Katanya, laporan dibuat selepas usaha mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa oleh penduduk kampung tidak berjaya.

“Semasa kejadian kedua-dua mangsa dari Rumah Nanga Pelagus Kapit telah keluar untuk menjala ikan iaitu sekitar jam 4.30 petang (Jumaat).

“Semasa melintasi jeram, saksi melihat perahu dinaiki kedua-dua mangsa telah karam dan kedua-dua mangsa hilang.

“Gerakan awal mencari dan menyelamat oleh penduduk kampung telah dilakukan, bagaimanapun kedua-dua mangsa masih belum dijumpai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan sebaik sahaja laporan diterima.

Kedua-dua mangsa sehingga berita ini ditulis masih belum berjaya dijumpai dan operasi SAR masih giat dijalankan.

Operasi SAR dilakukan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, Polis dan penduduk kampung. ā€” DayakDaily