Wanita cedera ketika mendaki Bung Jagoi

Mangsa dipikul oleh Tuan Tawang sehingga ke lokasi yang selamat.

BAU, 30 Julai: Hasrat seorang wanita untuk menawan Bung Jagoi tidak berjaya kerana mengalami kecederaan ketika mendaki gunung tersebut hari ini.

Mangsa berusia 37 tahun itu terpaksa diselamatkan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kerana tidak lagi dapat berdiri dan berjalan kerana cedera di pergelangan kaki kanan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 10.18 pagi


Katanya, beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau diketuan Pegawai Kanan Bomba Tawang Linggem bergegas ke lokasi kejadian.

“Pasukan penyelamat menggunakan teknik ‘Pick A Bag’ dan ‘Two Rescuer Assist’ untuk mengangkat mangsa sehingga sampai ke kaki bukit di Kampung Plaman Boawae, Bau.

“Sampai di kaki bukit, mangsa kemudian dibawa menggunakan kederaan pacuan empat roda (4WD) milik ketua balai memandakan laluan permukaan berbatu dan bertanah kuning sepanjang 1km dan hanya boleh dilalui 4WD sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya diberikan rawatan awal oleh Unit EMRS sebelum dihantar ke Hospital Bau untuk rawatan lanjut.

Operasi tamat pada jam 2.52 petang.

Turut sama dalam operasi ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). — DayakDaily