Dua lelaki ditangkap leka mencuri kabel di Jalan Stakan

Kedua-dua suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

KOTA SAMARAHAN, 22 Mei: Dua lelaki ditangkap kerana disyaki mencuri kabel di Jalan Stakan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata, kedua-dua suspek berumur 29 dan 30 tahun ditangkap anggota dari unit kereta peronda polis (MPV) sekitar jam 4.30 pagi.

Katanya, terdahulu pihaknya menerima maklumat dipercayai kedua-dua suspek sedang mencuri kabel di lokasi berkenaan.

“Bertindak atas maklumat tersebut, dua buah MPV yang menjalankan tugas rondaan Op Bersepadu Cegah Jenayah telah diatur gerak ke lokasi kejadian.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, mereka terserempak dengan kedua-dua suspek yang sedang memotong kabel milik salah sebuah syarikat telekomunikasi di tepi jalan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, kedua-dua suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap.

Pemeriksaan polis turut menjumpai motosikal dan sebahagian kabel yang telah dipotong.

Turut dirampas daripada suspek ialah dua bilah kapak, sebilah parang, gergaji, tukul, pemotong wayar, beg pinggang, telefon bimbit dan segulung wayar yang telah dipotong.

Kedua-dua suspek dan barang rampasan di bawa ke Balai Polis Kota Samarahan untuk tindakan selanjutnya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. — DayakDaily