Dua lelaki ditangkap kerana miliki dadah di Kuching

Gambar komposit kedua-dua suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

KUCHING, 14 Jun: Dua lelaki ditangkap polis kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah di sekitar bandaraya ini pada 12 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kedua-dua suspek berusia 21 dan 36 tahun semasa ditangkap didapati memiliki sejumlah dadah.

Katanya, dadah yang dijumpai dipercayai jenis syabu seberat kira-kira 38.33 gram dengan nilai dianggarkan RM3,738.95.


Ekoran itu, kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A(2) dan 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara dan sebatan.

Selain itu, kedua-dua suspek juga disahkan positif dadah selepas saringan awal air kencing dijalankan ke atas mereka.

Justeru, Ahsmon sentiasa mengalu-alukan maklumat orang awam berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah dan pengedaran dadah. — DayakDaily