BAU, 3 Feb: Dua lelaki warga tempatan ditahan polis selepas dipercayai dibawah pengaruh dadah di sebuah rumah di Kampung Serikin, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata anggotanya melakukan serbuan Op Tapis pada jam 4 petang ke atas rumah tersebut.
Katanya, semasa serbuan dilakukan didapati seorang suspek berada di ruang tamu rumah tersebut dan dia mengaku ada mengambil dadah.
“Manakala seorang lagi suspek ditangkap bersembunyi di dalam sebuah bilik dan hasil pemeriksaan menemui satu paket lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah.
“Hasil saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek berusia 21 dan 31 tahun itu positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kedua-dua suspek juga disahkan memiliki rekod jenayah lampau juga berkaitan dadah.
Mereka kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12 (2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily