Dua lelaki ditahan dalam kes pecah masuk kedai jual produk sejuk beku

Salah seorang suspek ditahan untuk siasatan lanjut

Brad Rantayy

MIRI, 29 Nov: Dua lelaki warga tempatan ditahan selepas disyaki memecah masuk sebuah kedai menjual produk-produk sejuk beku dan daging ayam segar di Lorong Krokop 10 di sini Sabtu lalu (Nov 21).

Kedua-dua suspek yang berusia 32 dan 35 tahun itu ditahan di dua buah rumah berasingan di Kampung Piasau Utara dalam satu operasi ‘Ops Pintu’ oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) sekitar jam 12.20 tengahari sehingga 1.40 petang pada kelmarin (Nov 28).


Pihak polis dalam usaha menjejak dua lagi suspek yang terlibat dalam kejadian pecah masuk kedai tersebut yang melibatkan kerugian sebanyak RM17,000.

Pada Sabtu lalu (Nov 21) sekitar jam 4.50 pagi, pengurus stor premis tersebut menyedari kejadian selepas mendapati laci tempat menyimpan wang tunai tersebut telah dibuka dan wang tersebut telah hilang.

Dipercayai suspek telah masuk ke dalam premis tersebut melalui tingkap tandas bangunan.

Sebuah motorsikal turut dirampas.

Semasa tangkapan, polis turut merampas beberapa barangan termasuk sebuah motorsikal milik suspek yang dipercayai baru sahaja dibeli.

Siasatan turut mendapati salah seorang suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk kesalahan dadah.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — DayakDaily