Dua lelaki cemas, kereta dinaiki terbabas lalu terbalik

Kelihatan sebuah kereta dalam keadaan terbalik.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 18: Dua lelaki berdepan dengan detik mencemaskan apabila sebuah kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu terbalik di bahu jalan di Jalan Datuk Stephen Yong di sini malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 11.05 malam itu, kedua-dua lelaki berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Jurucakap bomba dan penyelamat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.08 malam.

Sejurus itu katanya, sepasukan anggota bomba diarahkan ke lokasi kemalangan itu melakukan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah kereta Perodua Viva dalam keadaan terbalik di bahu jalan berkenaan.

“Namun, kedua-dua lelaki termasuk pemandu kereta tersebut berjaya keluar dari kenderaan itu,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera.

“Operasi menyelamat itu ditamatkan sejurus mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. — DayakDaily