KUCHING, 17 Julai: Dua pusat pengoperasian dan pengurusan judi dalam talian di sebuah kondominium mewah di Jalan Lapangan Terbang tumpas hasil serbuan Pasukan Khas Ibu Pejabat Polis Kuching, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kedua-dua premis terbabit dikesan melakukan kegiatan tersebut sekitar jam 11.50 pagi.
Menurutnya, turut ditangkap seramai 11 suspek terdiri daripada lapan wanita dan tiga lelaki berusia lingkungan 19 hingga 36 tahun.
“Hasil siasatan, sebuah daripada premis yang kita serbu telah beroperasi sejak tujuh bulan yang lepas dan didapati telah mengaut keuntungan sebanyak RM1.68 juta dalam tempoh beroperasi.
“Untuk sebuah lagi premis didapati baru beroperasi tiga bulan lalu, semakan dan siasatan mendapati pengoperasian tersebut telah mengaut keuntungan sebanyak RM540,000 dalam tempoh tersebut” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Tambahnya, pihaknya kini sudah mengenalpasti dua penganjur kegiatan haram tersebut dan akan melakukan tangkapan dalam masa terdekat ini.
Katanya juga, lima daripada suspek merupakan warga asing dipercayai sudah lama berada di Kuching.
Malah ada di antara mereka mengaku pernah bekerja sebagai pelayan di premis-premis kedai dan restoran.
Jelasnya, kesemua suspek yang ditahan turut didapati menjadikan kediaman itu sebagai tempat tinggal selain mengambil upah RM1,500 hingga RM1,800 sebulan dengan berkerja sebagai operator di premis tersebut.
Sehingga hari ini, sebanyak lapan pusat judi dalam talian diserbu dengan turut berjaya menangkap empat penganjurnya (dalang).
Operasi membanteras kegiatan perjudian dalam talian itu akan terus diperhebatkan lagi.— DayakDaily