KUCHING, 29 Jan: Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) akan membuka dua lagi pusat dialisis di Sarikei dan Kota Samarahan bagi membantu lebih ramai pesakit buah pinggang kurang berkemampuan.
Ketua Pegawai Eksekutif NKF, Chua Hong Wee berkata Pusat Dialisis NKF-Kidney Association of Sarawak/Rotary telah beroperasi selama 20 tahun di negeri ini.
“Kami akan membuka satu lagi pusat dialisis di Kota Samarahan, mungkin dalam beberapa bulan lagi. Satu lagi pusat dialisis akan dibuka di Sarawak ialah di Sarikei,” katanya ketika menerima kunjungan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah di Hock Kui Commercial Centre, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, hari ini.
Pusat Dialisis NKF-Kidney Association of Sarawak/Rotary dikendalikan 15 kakitangan dan memiliki 18 mesin dialisis digunakan 102 pesakit samada ditaja Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), menerima subsidi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dibiayai Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau tanggungan sendiri.
Chua tidak memberikan butiran pembukaan pusat dialisis di Kota Samarahan tetapi mendedahkan pusat dialisis mereka di Sarikei sudah menjalani kerja renovasi dan kini hanya menunggu pemberian lesen dari KKM bagi memulakan operasinya.
“Saya fikir dalam satu atau dua bulan lagi kami mungkin boleh membukanya (pusat dialisis NKF di Sarikei) dan sebahagian jururawat dari pusat dialisis (NKF-Kidney Association of Sarawak /Rotary) ini akan dihantar ke Sarikei,” katanya.
Beliau berkata pihaknya membuka pusat itu di Sarikei dan Kota Samarahan kerana tidak ada pusat dialisis swasta beroperasi di dua kawasan itu dan pesakit buah pinggang hanya menjalani rawatan dialisis di hospital terdekat.
Pusat dialisis di Sarikei dicadangkan ada enam mesin dialisis bagi kegunaan seramai 36 pesakit sahaja, namun setakat ini 100 pesakit sudah dalam senarai menunggu perkhidmatannya.
“Malahan ada pesakit terbabit akan terpaksa datang jauh dari Sibu. Sudah tentu kami perlu memperbesarkan operasi pusat dialisis terbabit selepas membukanya dan menambahkan bilangan mesin dialisis,” katanya.
Manakala pesakit menjalani rawatan dialisis di pusat dialisis NKF hanya membayar separuh kosnya atau RM90 sahaja bagi sekali rawatan selama empat jam berbanding RM200 atau RM300 sekali rawatan di pusat dialisis swasta lain.
“Kami juga memberikan subsidi pengangkutan kepada pesakit kurang berkemampuan yang datang dari jauh disamping subsidi ubat dan tiada bayaran bagi mereka bertemu doktor pakar buah pinggang,” katanya.
Sehubungan itu, Chua berharap kementerian terbabit, pertubuhan, persatuan atau kelab di negeri ini dapat membantu NKF mendapatkan lebih banyak mesin dialisis bagi kegunaan di dua pusat dialisis baharu mereka itu. —DayakDaily