SRI AMAN, 7 Julai: Tiga individu cedera selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung di Kilometer 32 Jalan Sri Aman-Serian hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mengatakan berlaku kemalangan membabit dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Honda City sekitar jam 6 petang.
Katanya, difahamkan seorang mangsa tersepit, manakala dua lagi berjaya keluar sendiri dari dalam kereta.
“Sampai di tempat kejadian, didapati kemalangan melibatkan dua buah kereta yang bertembung dari arah bertentangan di mana pemandu Perodua Myvi iaitu seorang lelaki masih tersepit.
“Manakala dua wanita iaitu pemandu Honda City dan penumpang Perodua Myvi telah keluar sendiri.
“Pasukan Bomba kemudian membuat ‘size up’ dan bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan kelengkapan menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kesemua mangsa kemudian segera dikejarkan ke Hospital Sri Aman menggunakan ambulan EMRS Bomba dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pasukan Bomba kemudian membuat ‘flushing’ bagi membersih serpihan kaca dan tumpahan minyak.
Setelah keadaan didapati selamat, pasukan Bomba kemudian bertolak balik ke balai. — DayakDaily