Dua kereta bertembung, seorang lelaki maut akibat tersepit

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Advertisement

MIRI, Jan 14: Akibat pertembungan kuat antara dua buah kereta, seorang lelaki maut selepas tersepit dalam satu kemalangan di Jalan Persisir Bintulu-Miri di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 malam itu, mangsa, Michael Nyuling, 44, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 6.53 malam.

Advertisement

Menurutnya, sejurus menerima laporan kejadian, sepasukan lapan anggota bomba dari Balai dan Penyelamat Miri dikerahkan ke lokasi nahas.

“Apabila sampai di lokasi pada pukul 7.57 malam, pasukan bomba mendapati kemalangan itu melibatkan kereta Perodua Axia dan Proton Iswara.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu Perodua Axia telah dikeluarkan oleh orang awam, manakala pemandu Proton Iswara masih tersepit di dalam kereta yang dalam keadaan terbalik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Law memberitahu, anggota bomba kemudian berusaha mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

Katanya, sejurus berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit, lelaki malang itu kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang turut berada di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan tersebut.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily

Advertisement