Dua kanak-kanak lelaki ditahan kerana disyaki merogol

Violence against women and children. — DayakDaily.com file pic. // Photo: PIxabay

LIMBANG: Hancur luluh hati seorang ibu apabila menemui anak perempuannya yang baharu berusia sembilan tahun dalam keadaan separuh bogel serta ditindih seorang kanak-kanak lelaki yang lebih tua.

Insiden ini dilaporkan berlaku di sebuah ladang di Kampung Palas, di sini iaitu sekitar jam 7 malam Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Datuk Dev Kumar berkata ibu mangsa mulanya melihat anaknya bermain dengan dua kanak-kanak lelaki berusia 10 dan 11 tahun di kawasan stor di ladang tersebut.


“Bagaimanapun sekitar jam 7.10 malam dia tidak lagi melihat anaknya dan mula risau lalu masuk ke dalam stor tersebut dan terkejut melihat anaknya baring di atas tilam dalam keadaan separuh bogel.

“Dalam masa sama, mangsa juga ditindih oleh seorang daripada kanak-kanak lelaki terbabit.

“Si ibu kemudian terus membawa anaknya keluar dari stor tersebut dan mendapati terdapat cecair kemerahan di bahagian kemaluannya,” kata Dev.

Laporan polis telah dibuat oleh si ibu selepas mengesyaki anaknya telah menjadi mangsa serangan seksual.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk diperiksa dan kedua-dua suspek juga dibawa ke Balai Polis untuk disoal siasat,” kata Dev.

Kes tersebut disiasat sebagai kes rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.