Dua jalan di Serian bakal dinamakan sempena pemimpin politik Bidayuh

Abang Johari (tengah) menyentuh bola kaca sebagai simbolik merasmikan Inisiatif Kemahiran Bahasa Inggeris Serian (SELPI) di Dewan Tayung Langui, Kampung Pichin, Serian.

SERIAN, Mac 17: Kerajaan negeri mengumumkan sudah meluluskan projek memperbesarkan dua jalan utama di Serian dan bercadang menamakan jalan tersebut sempena dua pemimpin politik kaum Bidayuh yang telah banyak berjasa.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan salah satu jalan terbabit yang telah diluluskan kabinet negeri ialah dari bulatan Kakai sehingga bulatan kecil di hadapan Pejabat Daerah Lama Serian dan akan menamakannya Jalan Datuk Michael Ben.

“Ini sebagai memberi penghormatan kepada mendiang Datuk Michael Ben yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan kawasan Serian dan pernah menjadi wakil rakyat kaum Bidayuh di kawasan ini serta bekas menteri kabinet negeri,” katanya ketika merasmikan Inisiatif Kemahiran Bahasa Inggeris Serian (SELPI) di Dewan Tayung Langui, Kampung Pichin , Tebedu, di sini, semalam.


Abang Johari berkata jalan kedua ialah dari bulatan kecil hadapan Pejabat Daerah Lama Serian sehingga Simpang Jalan Serian/Tebedu dan akan menamakannya Jalan Pengarah Rahun.

“Ini sebagai memberi penghormatan kepada bekas Ahli Parlimen kaum Bidayuh di Serian Pengarah Rahun yang juga telah banyak menyumbang kepada pembangunan kawasan Serian sehingga menjadi seperti yang dapat kita lihat sekarang ini,” katanya.

Beliau berkata peruntukan kewangan sudah disediakan kerajaan negeri bagi menjalankan projek memperbesarkan kedua-dua jalan Serian itu yang akan bermula tidak lama lagi.

Beliau tidak mendedahkan kos kedua-dua projek terbabit. Project tersebut akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bersama Pejabat Residen Serian dengan Jalan Datuk Michael Ben akan sepanjang 1,700 meter dan lebarnya ialah 9 meter manakalan Jalan Pengarah Rahun sepanjang 2,400 meter dan lebarnya 7 meter.

Dengan adanya kemudahan jalan raya yang baik, Abang Johari berharap penduduk Serian dapat berusaha menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa iaitu Bahasa Inggeris bagi menguasai teknologi ekonomi digital disamping menguasai Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

“Penduduk di Serian juga digalakkan menguasai bahasa Mandarin, supaya mereka dapat berkomunikasi dengan rakyat negara China yang ketika ini berjumlah 1.3 bilion orang,” katanya, sambil menambah ini membolehkan penduduk Serian menerokai pasaran negara itu yang amat besar bagi menjual pelbagai jenis produk keluaran mereka. — DayakDaily