KUCHING, Jan 8: Dua individu yang mengeluarkan hasutan serta kecaman di dalam Facebook terhadap para petugas Jabatan Perkhidmatan Veterinari Sarawak yang melaksanakan operasi menangkap anjing liar sebagai pembunuhan haiwan telah ditahan polis semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, kedua-dua individu berusia 34 dan 28 tahun itu diberkas bagi membantu siasatan lanjut.
Tegasnya, kedua-dua suspek telah mengeluarkan ugutan dan hasutan agar pengikut Facebook membunuh para petugas jabatan itu yang menjalankan operasi khas yang bertujuan untuk memerangi wabak rabies di Sarawak.
“Seorang lelaki yang juga pegawai bank telah telah ditahan pada pukul 10.50 pagi di sebuah rumah di BDC, Stampin di sini.
“Manakala, suspek kedua iaitu seorang wanita yang juga merupakan penjawat awam telah ditahan kira-kira pukul 2 petang selepas menyerah diri di Balai Polis Kota Sentosa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Dev memberitahu, pihak polis telah merampas telefon bimbit milik kedua-dua individu terbabit untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, orang awam yang sengaja menentang operasi menangkap anjing liar bakal berdepan hukuman undang-undang.
Ini susulan terdapat beberapa kenyataan berunsur fitnah yang ditularkan oleh netizen di laman sosial menyifatkan operasi gempur anjung gila yang bermula Rabu lalu sebagai pembunuhan haiwan.
Ketua Kesihatan Awam dari Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dr Cheong Yaw Liang berkata, satu laporan telah difailkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung perkara itu. — DayakDaily