Polis tahan penganggur selepas disyaki miliki dadah

Barangan rampasan daripada suspek.

KUCHING, Jan 8: Polis berjaya menahan seorang penganggur selepas dia disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah menerusi satu serbuan di kawasan letak kereta di Taman Sri Makmur, Matang di sini semalam.

Suspek berusia 21 tahun itu ditangkap sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Padawan kira-kira pukul 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, lelaki itu ditahan hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan sebelum itu.


Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis telah menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu dianggarkan seberat 6 gram di dalam genggaman tangan sebelah kiri suspek.

“Nilai pasaran bagi dadah itu dianggarkan antara RM500 hingga RM800. Suspek kemudian dibawa ke pejabat BSJND IPD Padawan untuk menjalani ujian air kencing.

“Hasil ujian saringan awal polis mendapati sampel air kencing suspek adalah positif dadah jenis methamphetamine,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Aidil memberitahu, hasil siasatan lanjut yang dijalankan, suspek itu telah mengaku dadah tersebut adalah miliknya yang dibeli secara tunai menerusi dalam talian.

Katanya, selain daripada untuk kegunaan sendiri, dadah itu juga untuk dijual kepada penagih di sekitar Matang.

“Kea ini disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi. — DayakDaily