Dua guru wanita cemas, rakit dinaiki dihanyut ke laut

Kelihatan guru yang selamat selepas rakit dinaiki dihanyut ke laut.
Advertisement

Oleh Dean Adam

LUNDU, Feb 7: Dua guru dari IPG Kampus Batu Lintang berdepan dengan detik mencemaskan apabila rakit yang dinaiki mereka dihanyutkan ke laut Tanjung Pelanduk berhampiran Pantai Pandan di sini petang tadi.

Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu semasa kedua-dua guru wanita itu sedang menjalani program bina insan di Kem Alapong di sini bersama-sama sekumpulan guru yang lain.

Advertisement

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.10 petang.

Katanya, sejurus itu sepasukan tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

Pasukan bomba membawa guru yang dihanyut air pasang besar.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kedua-dua guru tersebut dihanyutkan ke laut kerana air pasang besar semasa latihan menggunakan rakit di tepi pantai.

“Namun, kedua-dua mangsa yang hanyut telah diselamatkan oleh dua orang tenaga pengajar yang mengejar menggunakan kayak, namun mereka tidak berdaya untuk berkayuh balik kerana kepenatan,” katanya di sini malam ini.

Jurucakap sama memberitahu, pasukan bomba kemudian menggunakan bot penyelamat untuk menyelamat mangsa dan membawa mereka ke kawasan tepi pantai.

Katanya, tiada laporan kecederaan mangsa dilaporkan.

“Operasi ditamatkan pada pukul 6.35 petang selepas guru berkenaan menerima rawatan awal,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement