Dua ejen judi dalam talian ditangkap di Podam, Bau

Gambar komposit suspek yang ditangkap dan barang rampasan dalam operasi tersebut.

BAU, 25 Julai: Dua lelaki disyaki ejen judi dalam talian ditangkap dalam dua serbuan berasingan di Kampung Podam, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata kedua-dua suspek ditangkap dalam Op Dadu Khas oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bau.

Jelasnya, kedua-dua suspek warga tempatan terbabit berusia 22 dan 34 tahun.

“Serbuan pertama dilakukan di sebuah kafe dan telah menangkap seorang lelaki berusia 22 tahun sekitar jam 5.45 petang.

“Manakala serbuan kedua pula dilakukan di sebuah rumah kira-kira jam 6 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tangkapan dibuat selepas pemeriksaan polis menemui beberapa bahan bukti mengaitkan suspek dengan kegiatan perjudian tersebut.

Kedua-dua suspek ditahan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Turut dirampas daripada suspek ialah telefon bimbit dan sejumlah wang tunai.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM5000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun,” katanya. — DayakDaily