Dua ditangkap kerana dadah di Kota Sentosa

Dadah yang ditemui semasa serbuan tersebut.

KUCHING: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Padawan menangkap seorang lelaki dan wanita kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di Batu 7, Kota Sentosa semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kedua-dua suspek berumur 32 dan 27 ditangkap dalam serbuan ke atas sebuah premis inap desa kira-kira jam 10.05 pagi.

Katanya, hasil serbuan telah berjaya menemui dadah jenis syabu dianggarkan seberat 6.8 gram bernilai RM680.


“Saringan awal air kencing dijalankan terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah dan mereka turut didapati mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hasil siasatan awal juga mendapati suspek lelaki mengaku dadah yang dirampas adalah miliknya dan terlibat dengan pengedaran sejak awal tahun ini.

Menurutnya juga, suspek memberitahu dia memperolehi bekalan syabu secara transaksi bank dengan kekerapan dua kali seminggu.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan di Balai Polis Kota Samarahan untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily