Dua bot tunda ditahan, cuba pindahkan kayu balak tanpa kebenaran

Bot dan tongkang dengan muatan kayu balak ditahan untuk siasatan lanjut.

BINTULU, 18 Mac: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu telah menahan dua bot tunda beserta dua tongkang pada jarak lebih kurang tiga batu nautika dari muara Sungai Kemena Bintulu, semalam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot dan tongkang itu dikesan sedang leka memindahkan muatan barangan bercukai yang disyaki kayu balak import dari Papua New Guinea tanpa kebenaran.

Katanya, hasil pemeriksaan dan penggeledahan, mendapati kesemua bot tunda dan tongkang tersebut gagal mengemukakan dokumen kebenaran melakukan aktiviti pemindahan barangan bercukai di laut serta gagal mengemukakan Borang Kebenaran Pelepasan Pelabuhan daripada pihak berkuasa.


“Manakala sebuah bot tunda dan sebuah tongkang juga turut gagal mengemukakan Domestic Shipping Licence (DSL),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seramai 15 kru bot tunda dan tongkang ditahan termasuk dua nakhoda, berumur dalam lingkungan 23 hingga 56 tahun.

“Mereka terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan, lapan lelaki warga Indonesia, dua lelaki warga India dan dua lelaki warga Myanmar yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap serta permit bekerja di atas bot tunda dan tongkang tersebut,” katanya.

Dedah beliau juga, muatan disyaki kayu balak berjumlah lebih kurang 700 batang juga didapati berada di atas kedua-dua tongkang semasa pemeriksaan dilakukan.

“Kesemua 15 kru beserta dua bot tunda dan dua tongkang ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM100 ribu atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah.

Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut dan amat mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily