Dua beranak cemas, pokok pinang tumbang hempap rumah

Anggota bomba membantu mengeluarkan barangan dari dalam rumah mangsa.

Oleh Dean Adam

SONG, Dis 7: Dua beranak berdepan dengan detik mencemaskan apabila rumah mereka dihempap dua batang pokok pinang dalam satu kejadian tanah runtuh di Rh Nanga Lajan, Jalan Song-Kapit, dekat sini hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi itu, tiada laporan kecederaan dilaporkan berlaku.


Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song, Nasihin Jaum, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8 pagi.

Jelasnya, sejurus itu sepasukan enam anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

Kelihatan dua batang pokok pinang menimpa sebuah rumah.
Anggota bomba melakukan kerja memotong pokok pinang.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati dua batang pokok pinang telah tumbang dan menimpa rumah dua beranak berkenaan.

“Pasukan bomba kemudian membantu memindahkan barangan dari dalam rumah tersebut dan menjalankan kerja-kerja memotong pokok pinang terbabit,” katanya di sini hari ini.

Nasihin menambah, operasi tersebut tamat sepenuhnya selepas pokok pinang berkenaan berjaya dialihkan ke tempat selamat.

“Operasi berkenaan turut dibantu oleh penduduk setempat,” katanya. — DayakDaily