Dua beradik suspek dalam rompakan berkumpulan ditahan selepas dua tahun diburu polis

Dua beradik (tengah) ditahan kerana disyaki terlibat kes rompakan berkumpulan di Permyjaya dua tahun lepas.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 1 Mac: Selepas dua tahun dalam buruan, dua beradik yang disyaki terlibat dalam kes rompak berkumpulan dua tahun lalu akhirnya ditahan pihak polis semalam.

Kedua-dua suspek berusia 24 dan 30 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri sekitar jam 6.30 petang di sebuah hentian bus di Pujut.


Tangkapan disahkan Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari.

Dalam kejadian pada 1 February 2020 lalu, dua suspek bersama dua lagi rakan mereka telah disyaki merompak seorang lelaki di Bandar Baru Permyjaya dan melarikan telefon bimbit milik mangsa.

Difahamkan, sebelum kejadian, suspek bersama rakannya menaiki sebuah Perodua Viva telah berpura-pura menanyakan seorang bernama “Boy” yang didakwa tinggal di kawasan tersebut kepada mangsa.

Suspek dipercayai telah menendang dan menumbuk mangsa semasa kejadian.

Kejadian telah dilaporkan kepada pihak polis.

Susulan kejadian, pihak polis telah membuat risikan dan akhirnya pada petang Isnin (28 Feb), berjaya mengesan keberadaan suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan. — DayakDaily