Dua beradik melecur, bapa selamat dalam kejadian tong gas meletup

Keadaan rumah mangsa akibat kesan letupan tong gas memasak.

MIRI, Mei 16: Malang menimpa dua beradik apabila melecur kira-kira 50 peratus, manakala bapa mereka tidak cedera dalam satu kejadian tong gas memasak meletup di sebuah rumah di Desa Senadin, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, dua beradik masing-masing berusia 18 dan 15 tahun melecur pada anggota badan mereka.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong memberitahu, bapa mangsa yang berumur 52 tahun tidak cedera.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.31 petang.

“Sejurus itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati letupan itu berlaku di sebuah rumah teres setingkat.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiga mangsa cedera iaitu dua lelaki dan seorang perempuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Law menambah, mangsa kemudian dihantar oleh peronda polis dan orang awam ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.

Katanya, mengikut temubual bersama bapa mangsa, kedua-dua mangsa terlebih dahulu masuk ke dalam rumah sebelum berlaku letupan.

“Bapa mangsa memaklumkan ada terhidu bau gas sebelum mereka masuk ke dalam rumah.

“Tiada operasi dijalankan disebabkan kebakaran telah dipadam oleh jiran mereka. Siasatan awal mendapati letupan dipercayai berlaku kerana kebocoran tong gas memasak semasa mereka berada di luar rumah,” katanya lagi. — DayakDaily