Juruteknik maut dipercayai terkena renjatan elektrik semasa memancing

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

PADAWAN, Dis 23: Seorang juruteknik maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam satu kejadian di Taman Sinar Serapi, Jalan Kolong, Matang di sini lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa yang meninggal dunia dikenalpasti sebagai Nashirin Anis, 29, dari Kampung Sungai Tengah, Kolong 2, Matang.


Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, sebelum mangsa ditemui mati, dia dikatakan keluar memancing seorang diri.

Bagaimanapun katanya, mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah sehingga dia ditemui meninggal dunia oleh sepupunya.

“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik susulan wayar kabel elektrik terputus di Kampung Sungai Tengah, Kolong, Matang.

“Semasa ditemui, terdapat kesan melecur pada bahagian siku kiri tangan si mati dan tiada kecederaan lain,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Aidil menambah, mayat bapa kepada dua anak itu kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. — DayakDaily