KUCHING, 29 Sep: Dua tapak di sepanjang jalan pesisir dikenal pasti bagi tujuan pembinaan balai Bomba baharu.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Dato Nor Hisham Mohammad berkata, ia dirancang dibina bagi memenuhi keperluan di sepanjang jalan pesisir.
“Salah satu perkara utama ialah keperluan untuk kita lihat bagaimana balai Bomba di jalan pesisir.
“Kita ada di Simunjan, kemudian jauh sedikit di Saratok dan berakhir di Tanjung Manis.
“Di sepanjang jalan pesisir apabila jambatan siap dan jumlah kenderaan meningkat, keperluan mewujudkan pili bomba adalah satu perkara kritikal,” katanya.
Nor Hisham berkata demikian ketika ditemui di Program Bomba Outreach di SJK Chung Hua No. 4 di sini, hari ini.
Justeru beliau berharap Kerajaan Negeri boleh memberi pertimbangan kepada dua tapak yang dicadangkan.
Katanya, kertas kerja akan dihantar kepada agensi pusat untuk tindakan seterusnya.
“Ini untuk membolehkan salah satu atau kedua-dua tapak kita bina balai Bomba bagi kita menangani sebarang insiden yang berlaku di sepanjang jalan pesisir,” kata Nor Hisham.
Program Bomba Outreach telah dirasmikan Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian. — DayakDaily