Dua adik beradik maut dalam nahas di Jalan Batu Kawa

Anggota Bomba berusaha mengeluatkan mangsa yang tersepit.

KUCHING,8 Dis: Dua adik beradik maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Batu Kawa, di sini malam hari Rabu (7 Dis).

Kedua-dua mangsa berusia 23 dan 25 dan berasal dari Taman Malihah.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kedua-dua mangsa semasa kejadian bersama lima lagi individu termasuk dua kanak-kanak.

Katanya, semasa kejadian mereka dalam perjalanan dari arah MJC menuju ke Malihah sekitar jam 11.30 malam.

“Kemalangan berlaku semasa kenderaan jenis Proton Iswara dipandu mangsa (berusia 25) bergerak lurus dari arah MJC ke Malihah lalu bertembung dengan kereta jenis Toyota Mark X yang masuk ke laluan bertentangan.

“Kereta Toyota Mark X yang datang dari arah bertentangan telah hilang kawalan dipercayai ketika melalui jalan berbatu masih dalam projek naik taraf,” katanya dalam satu kenyataan.

Kedua-dua mangsa tersepit di dalam kereta telah dikeluarkan pihak Jabatan Bomba and Penyelamat Malaysia (Bomba) dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia di lokasi kejadian.

Tambah Abang Zainal Abidin, kedua-dua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera dihantar ke Unit Kecemasan HUS untuk rawatan.

Selain itu, katanya, kenderaan terbabit kemalangan telah dibawa Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan untuk pemeriksaan Puspakom dan Jabatan Kimia.

Ujarnya, kes setakat ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. ā€” DayakDaily