Oleh Chris Bishop
KUCHING, 9 Dis: Sarawak bakal mewujudkan satu entiti yang akan menguruskan perihal berkaitan sumber air di seluruh negeri.
Menteri Utiliti Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, perkara tersebut akan dibawakan ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan datang dengan usul pindaan terhadap Ordinan Air Sarawak.
“Ia masih belum lengkap tetapi kita akan memiliki satu entiti, maksudnya tiada lagi Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu dan sebagainya.
“Semuanya akan di bawah satu badan korporat dan saya sepatutnya membawa usul ini pada persidangan DUN yang lepas.
“Pada persidangan akan datang, sekiranya masih sebagai Menteri Utiliti, saya akan bawa usul pindaan Ordinan Air Sarawak,” katanya pada satu sidang media di Loji Rawatan Air Batu Kitang di sini, hari ini.
Tambah Dr Rundi, entiti baharu itu akan menggunakan modul yang sama yang dipraktikkan Sarawak Energy Berhad.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Sarawak telah menyediakan peruntukan besar mencecah berbilion ringgit untuk melaksanakan projek-projek air sehingga 2070.
Katanya, ia bukan sahaja melibatkan projek rawatan dan bekalan air untuk kegunaan awam malah meliputi program pengeluaran kuasa.
“Mungkin anda pernah mendengar cerita tentang gas hidrogen dan pengeluaran kuasa menggunakan sumber air.
“Inilah yang kita usahakan menerusi pelan induk jangka panjang mulai sekarang sehingga 2070,” ujar Dr Rundi lagi. — DayakDaily