Dr Rundi mahu kementeriannya capai visi yang ditetapkan Premier Sarawak

Dr Rundi (lima dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Protem Persatuan Bekas Pegawai Pertanian Sarawak.

KUCHING, 10 Okt: Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom gesa seluruh pasukannya mencapai visi yang telah ditetapkan Premier Sarawak.

Katanya, kementerian tersebut merupakan sektor penting di dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 menuju 2030.

“Sektor ini menyumbang sekitar RM12 bilion kepada pendapatan negeri dan kita akan memastikan ia berterusan,” katanya.


Dr Rundi berkata demikian di Majlis Makan Malam Sambutan 10 Tahun Persatuan Bekas Pegawai Pertanian Sarawak (SAVA) di sini, malam ini.

Tambah beliau, walaupun nama kementerian sudah bertukar sebanyak 11 kali dibawah 5 menteri, apa yang penting adalah sebuah pasukan yang betul.

Pasukan ini jelas Dr Rundi mestilah memahami serta membaca apa yang di dalam fikiran yang dimahukan beliau.

“Sekarang ini setiausaha tetap dan pengarah sudah bersara, ramai yang berpengalaman sudah meninggalkan kita.

“Saya mungkin menyalahkan bahagian sumber manusia dimana mereka seharusnya tidak membenarkan kekosongan ini berlaku.

“Sebagai Menteri saya boleh mengatakan ini sebab saya perlukan pasukan ini.

“Sekarang saya baharu, pegawai-pegawai kanan saya sekarang juga baharu,” katanya.

Namun di sebalik semua kekurangan ini jelas Dr Rundi, beliau akan memastikan kementerian mencapai semua sasaran yang telah ditetapkan.

“Kita akan berusaha dan inilah masanya untuk menebus kegagalan lalu.

“Apa yang tidak dilaksanakan dahulu, kita akan laksanakan sekarang,” tegas Dr Rundi.

Di majlis itu beliau menyatakan komitmen untuk menyediakan bantuan sebanyak RM30, 000 setiap tahun kepada SAVA. — DayakDaily